Tuesday 21 December 2010

Adat Perpatih

HUBUNGAN kebudayaan, kesenian dan warisan antara Malaysia dan Indonesia bukanlah perkara baru antara masyarakat di kedua-dua negara yang tergolong dalam rumpun sama iaitu Melayu.

Kebanyakan penduduk tempatan jika dikaji susur galur keturunan pasti mempunyai hubungan dengan negara itu. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim misalnya memang diketahui umum sebagai anak jati Minangkabau atau Minang.

Sebenarnya, sekitar abad ke-15, orang Minangkabau di Sumatera Barat merantau dan memulakan hidup baru di Tanah Melayu. Mereka mendiami dan meneroka kawasan di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan. Mereka membuka ladang dan sawah padi tetapi tidak pernah meninggalkan adat istiadat Minangkabau yang lebih dikenali sebagai Adat Perpatih dalam kehidupan.

Melihat kepada keunikan itu, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mengatur langkah awal memupuk kebudayaan rumpun Malaysia dan Indonesia melalui penganjuran program Titian Budaya di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Disember lalu.

Kejayaan program itu memberi keyakinan kepada kementerian terbabit untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan wilayah lain di Indonesia kerana hubungan seni, budaya dan warisan sekiranya dihayati oleh rakyat kedua-dua negara akan melahirkan persefahaman sekali gus mewujudkan rasa saling menghargai.

Justeru, Dr Rais bersama 11 delegasinya sekali lagi turun mengunjungi Indonesia tetapi kali ini ke Bukit Tinggi dan Padang, Sumatera Barat dalam lawatan kerja tiga hari bermula 13 Jun hingga 15 Jun lalu.

Kunjungan Dr Rais ke Sumatera Barat itu diibarat seperti 'sireh pulang ke gagang' berdasarkan keturunan Minangnya yang berakar tunjang dari wilayah berkenaan.

“Malaysia dan masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat tidak boleh dipisahkan kerana penduduk Negeri Sembilan termasuk saya kebanyakannya adalah daripada keturunan Minangkabau yang mengamalkan adat perpatih,” katanya yang sentiasa ceria walaupun baru pulang dari London untuk mempromosi Minggu Malaysia 07 sebelum itu.

Sumatera Barat sememangnya terkenal dengan pelbagai khazanah dan warisan turun temurun keturunan Minang yang masih tidak diketahui oleh penduduk Malaysia khususnya masyarakat Minang di Negeri Sembilan seperti Batu Batikam yang menjadi simbol demokrasi dalam sejarah masyarakat Minang.

Batu Batikam yang berukuran 55 sentimeter dan mempunyai bentuk seperti tikaman keris adalah peninggalan sejarah tanda berakhirnya perselisihan faham antara Datuk Pepatih Nan Sebatang dengan Datuk Katumanggungan mengenai sistem adat. Ia adalah kawasan sejarah yang dulunya menjadi tempat berkumpul dan bermusyawarah suku Minangkabau bagi membincangkan sistem adat.

Justeru, pertemuan empat mata antara Dr Rais dan tokoh adat, bersebelahan Batu Batikam, dilihat amat simbolik dalam usaha mengeratkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Sumatera Barat dalam aspek budaya, seni dan warisan.

Dalam pertemuan bersejarah itu, Dr Rais yang fasih dalam bahasa Minang mengumumkan untuk mewujudkan dana khas bagi penyelidikan mengenai Adat Perpatih yang sehingga kini masih belum lagi dapat dipastikan sumber sahihnya.

“Kita mahu penyelidikan mengenai Adat Perpatih ini dilakukan secara terperinci antara universiti tempatan dan universiti di wilayah ini supaya dapat dibuktikan bahawa adat perpatih ini lebih demokratik daripada Common Law (Undang-undang Lazim) yang berasal di England.

“Kita juga mahu supaya kajian ini akan dapat dihasilkan dalam bentuk jurnal, antropologi mengenai sumber Adat Perpatih ini supaya kita dapat membandingkannya dengan Common Law. Mungkin Adat Perpatih ini sudah wujud sebelum British mewujudkan Common Law," katanya.

Adat Perpatih adalah suatu peraturan hidup yang sistematik dan telah mempengaruhi rupa bentuk, konsep dan falsafah sosiobudaya sebahagian besar rakyat di Sumatera Barat, Negeri Sembilan dan Naning di Melaka. Dalam amalan Adat Minangkabau ini, harta pusaka, gelaran dan nama suku diturunkan menurut salasilah keturunan di sebelah ibu.

Adat ini berteraskan keharmonian hidup masyarakat dan merangkumi pelbagai bidang kehidupan seperti sistem politik, ekonomi, sosial sehinggalah adat istiadat pertabalan Raja, kaedah pembahagian harta pusaka dan perkahwinan. Dalam sistem sosial, Adat Perpatih mengandungi sistem nilai, sistem kekeluargaan, sistem politik dan sistem hukum adat yang lengkap.

Dalam Adat Perpatih terdapat 12 kumpulan yang dipanggil Suku iaitu kumpulan kesatuan zaman dulu. Ketua bagi setiap suku dipanggil Lembaga dan mempunyai gelaran masing-masing. Lembaga berfungsi sebagai pentadbir kepada sukunya dan menyelesaikan masalah berkaitan adat, harta, perceraian, pertelingkahan.

Jika Lembaga tidak dapat mencari jalan penyelesaian, maka perkara itu akan dibawa ke pengetahuan Undang melalui Orang Besar Undang.

Bayangkan jika apa yang diperkatakan Dr Rais itu dapat dibuktikan, pastinya sejarah undang-undang dunia terpaksa diubah dan Adat Perpatih atau orang Melayu sendiri diiktiraf mempunyai perundangan lengkap pertama di dunia.

Penyelidikan seumpama itu bukan saja memberi manfaat kepada rumpun Melayu, tetapi juga dapat memperkenalkan Adat Perpatih di serata dunia.

Kunjungan ke Batu Batikam itu juga dilihat bertepatan pada masanya dalam mencari pengisian untuk Muzium Adat di Jelebu, Negeri Sembilan yang akan dibuka kepada umum bulan depan. Muzium pertama seumpama itu di negara ini akan mengetengahkan pelbagai adat termasuk Adat Perpatih.

Selesai pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu, Dr Rais dan rombongan bergegas ke Pagaruyung, kira-kira 100 kilometer dari Tanah Datar untuk melihat sendiri Tapak Rumah Gadang yang terbakar akibat panahan petir Februari lalu.

Rumah Gadang atau lebih dikenali dengan Rumah Adat yang dibina semula pada 1976 selepas pertama kali terbakar ketika berlaku rusuhan sebelum itu, terkenal sebagai muzium yang menyimpan khazanah masyarakat Minangkabau.

Rumah Gadang itu dijangka dibina semula pada 8 Julai ini. Melihat signifikan Rumah Gadang itu bukan saja kepada penduduk Sumatera Barat, malah seluruh orang Minang di Nusantara ini, Dr Rais pada akhir lawatannya menyampaikan bantuan berjumlah RM50,000 kepada Gabenor Sumatera Barat, Gumawan Fauzi bagi membina semula dan mencari pengisian rumah berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas melawat Muzium Adiyatwarman di Padang pada hari akhir lawatannya, beliau melahirkan rasa gembira dan berpuas hati kerana walaupun hanya dua hari berada di bumi Sumatera, ia berjaya mengeratkan lagi hubungan kebudayaan antara wilayah terbabit dengan Malaysia.

“Kerjasama seperti ini dapat memperbetulkan persepsi negatif yang mungkin timbul antara dua rakyat kerana budaya, seni dan warisan menjangkau segala aspek dan mampu merapatkan dua negara,” katanya.

Pendapat itu turut disokong Gumawan yang mahu kerjasama itu terus dilaksanakan segera kerana memberi faedah kepada Malaysia dan wilayah berkenaan.

Justeru, satu jawatankuasa khas yang turut membabitkan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Mohamed M Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Dr Adi Taha akan diwujudkan segera bagi memastikan kerjasama itu berjalan lancar.

Jawatankuasa itu akan merangka pelbagai program kebudayaan antara Malaysia dan Sumatera Barat yang juga tanah kelahiran penulis dan ulama terkenal, Hamka. Jadi tidak hairanlah kerjasama itu juga akan turut membabitkan bidang penulisan dan penulis terkenal di wilayah itu akan dijemput menjadi penulis jemputan kementerian.

Selepas kunjungan hormat terhadap Gumawan, Dr Rais menerima replika Batu Batikam untuk diletakkan di Muzium Adat bagi tatapan penduduk Malaysia.

Lawatan ini membuka landasan dan ruang lebih luas kepada pengukuhan budaya antara Malaysia dan Wilayah Sumatera Barat.

No comments:

Post a Comment