Wednesday, 6 August 2014

DOA SEORANG IBU MISKIN

DOA SEORANG IBU MISKIN

Semasa kerajaan Bani Umaiyah berkuasa di bawah pemerintahan Khalifah Mu'awiyah  bin Abu Sufyan, terdapat seorang janda daripada keturunan Nabi Muhammad Sallallahu `alaihi wasallam. Dia mempunyai tiga orang anak perempuan yang masih  kecil dalam  kedaaan hidupnya sangat dhaif dan menyedihkan.

Pada suatu hari anak-anaknya menangis tidak berhenti-henti, kerana tidak tahan  lagi menanggung kelaparan. Sudah puas ibunya memujuk menyuruh  bersabar namun anak-anak itu terus menangis dengan kuatnya.

"Tunggulah sampai besok nak, nanti ibu akan pergi ke pejabat kadi bertemu tuan hakim meminta sesuatu daripada harta Baitulmal' mudah-mudahan dia menghulurkan sedikit bantuan untuk kita. " Ujar ibu itu berjanji mengharapkan  anak-anaknya akan diam.

Maka pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi ibu tadi beserta anak-anak itu datang ke pejabat tuan hakim. Setelah agak lama menunggu, barulah tuan hakim datang. Melihat ibu  dan anak-anak kecil berada di hadapan pejabatnya, tuan hakim bertanya :

"Ada apa kamu sekalian menunggu di sini ?"

"Tuan Hakim ! Kami sudah lama tidak menjamah makanan. Saya sendiri bolehlah tahan, tapi anak-anak kecil ini tidak sanggup menahan lapar, jadi kami datanglah ke mari moga-moga Tuan dapat memberikan sedikit sedekah kepada kami." Kata ibu tadi mengharap belas kasihan daripada tuan hakim itu.

"Baiklah, hari ini kembalilah dulu ! Besok aku akan berikan kamu sesuatu," tegasnya.
Wajah ibu itu ceria sedikit bila mengetahui bantuan yang diharap-harapkan itu akan diterimanya esok. Tapi bila memikirkan keadaan anak-anaknya yang sedang kelaparan itu maka timbul di hatinya untuk merayu kepada tuan hakim itu supaya bantuan itu diberikan pada hari itu juga.

"Tuan Hakim ! Terima kasih banyak di atas pertimbangan Tuan yang baik itu, tapi alangkah baiknya kalau bantuan itu diberikan sekarang ini juga kerana anak-anakku sedang kelaparan." Ibu itu merayu.

"Sudahlah, bukankah aku sudah katakan besok saja, aku baru saja datang, takkan hendak menyelesaikan urusan kamu dahulu. "Sergah tuan hakim sambil minta si ibu itu keluar dari biliknya.

Ibu itu menarik tangan anaknya untuk pulang, namun anak yang tidak  mengerti itu lebih kuat lagi tangisannya kerana dillihatnya tidak ada sesuatu yang diberikan oleh tuan hakim itu.

Tuan hakim tak bagi kita apa-apa ibu? "Tanya anaknya yang agak besar itu."

"Tuan hakim sibuk hari ini nak, besok dia akan berikan sesuatu kepada kita." Pujuk si ibu.

Pada malam itu dia terpaksa mencari jalan untuk mententeramkan anak-anaknya agar tidak terus menangis  dan meyakinkan bahawa mereka pasti dapat bantuan daripada harta Baitulmal pada keesokan harinya. Namun anak-anak yang belum faham itu terus bertanya  kenapa mesti kena tunggu besok kalau tuan hakim betul-betul mahu bantu. Bagaimanapun akhirnya mereka semua tertidur di dalam keadaan perut yang kosong.

Pada keesokan paginya , ibu itu pergi seorang diri ke pejabat tuan hakim sementara anak-anaknya ditinggalkannya di rumah.

"Assalamualaikum Tuan Hakim, " ibu itu memulakan bicaranya.

"Ah, pagi-pagi buta begini engkau sudah sampai ke mari, ada apa ? "Bentak tuan hakim pura-pura bertanya.

Bukankah Tuan Hakim suruh saya datang hari ini kerana bantuan yang Tuan janjikan iru ? Kata ibu itu.

"Bantuan yang aku janjikan ? Eh... aku tak pernah berjanji kepada sesiapa pun." Kata tuan hakim dengan nada sombong.

"Bukankah saya yang datang kelmarin dengan anak-anak dan Tuan hakim menyuruh...."

Belum sempat ibu itu menghabiskan bicaranya untuk mengingatkan tuan hakim tentang janjinya, tiba-tiba tuan hakim dengan nada keras dan suaranya yang tinggi memerintah   pengawalnya.

"Hei pengawal ! Halau perempuan ini dari sini."

"Wahai Tuan hakim! kenapakah tuan bersikap zalim begini ?" Kata ibu dengan marah.

"Ah.... pergi saja dari sini, jangan bising-bising, buang masa  saja." Perintah Tuan hakim.

Dengan penuh perasaan malu, ibu itu keluar dari pejabat tuan hakim sambil menahan tangisannya. Dia tidak mahu menunjukkan dirinya rendah dan hina seperti seorang pengemis yang sudah tidak punya pendirian lagi. Dia tahu dirinya dari keturunan mulia, dari anak cucu Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam yang mesti menjaga harga diri.

Ibu itu cepat-cepat meninggalkan tempat itu dengan fikirannya yang berkecemuk memikirkan nasib malang yang menimpa dirinya.

"Apa yang akan aku katakan kepada anak-anakku yang sedang menunggu di rumah ? Aku katakan tuan hakim itu telah memungkiri janjinya ? Manalah anak-anak kecil itu tahu alasan-alasan seperti itu. " Bisik ibu itu di dalam hatinya.

Dia kemudian memesongkan  kakinya ke haluan jalan di mana terdapat sederetan rumah-rumah buruk yang sudah tidak berpenghuni lagi dan duduk di salah satu anak tangga di situ. Dia terus menangis sekuat-kuat hatinya sambil mengeluh : "Wahai Tuhanku! Apa yang akan aku katakan kepada anak-anakku yang sedang menunggu?  Aku tidak sanggup lagi melihat mereka menangis kerana kelaparan. Aku tidak dapat menipu mereka lagi dengan alasan-alasan yang tidak benar ! Tuhanku ! Berilah aku jalan keluar daripada kesempitan ini! Aku sendiri pun sudah tidak larat lagi menanggungnya, apatah lagi anak-anakku yang kecil yang belum tahu apa-apa pun!" Ibu itu mengadu kepada Allah.

Ibu  itu terus menangis dan merintih mengenangkan kesempitan hidupnya yang selalu sangat di dalam kelaparan dan dipandang hina oleh masyarakat setempat.

Sedang dia menangis tiba-tiba lalu dihadapannya dua orang pemuda yang kebetulan tadi
sempat mendengar keluhan dan tangisannya, lalu menegur.

"Wahai ibu, jangan takut.... kenapa ibu menangis di sini ? "Tanya pemuda itu.

"Wahai orang muda, kamu siapa ? Dan kenapa kamu datang ke sini ? "Ujar ibu itu pula sambil mengesatkan airmata dengan tangannya.

"Nama saya Saiduq, berbangsa Nasrani dan beragama Masihi. Semua orang kenal saya di sini, dan ini pengawal saya. "Kata pemuda itu sambil menunjukkan pengawalnya.

"Saiduq, saudagar Nasrani yang kaya raya itu ke ? "Tanya ibu itu yang pernah mendengar cerita tentang kekayaan Saiduq sebelum ini.

Kenapa ibu menangis di sini ? "Tanya Saiduq tanpa menghiraukan pertanyaan ibu itu.
Tak ada apa-apa. "Jawab ibu itu cuba menyembunyikan.

"Tak ada apa-apa takkan menangis ? Cuba ceritakan ! "Desak Saiduq lagi.

Setelah didesak berkali-kali akhirnya  ibu itu pun menceritakan nasibnya  yang malang itu dan bagaimana dia hidup menderita kesusahan menanggung tiga orang anaknya yang masih  kecil.

Diceritakan juga apa yang berlaku di antaranya dengan tuan hakim yang sombong itu.
"Saya faham, ibu jangan menangis lagi ! "kata Saiduq.

Kemudian Saiduq menyuruh perempuan itu kembali dulu ke rumah dan menunggu bantuan yang akan dikirimkan kepadanya lalu memanggil pengawalnya dan berkata :

"Pengawal ! Berikan perempuan itu seribu dinar (nilai yang sangat tinggi waktu itu). Kemudian belikan dia dan anak-anaknya pakaian dan segala keperluan rumahnya sekarang juga! "Perintah Saiduq.

Ibu itu terkejut melihat seorang Nasrani yang  begitu murah hati terhadap orang yang susah  dan menderita  sepertinya. Dia tidak dapat mengatakan betapa terima kasihnya terhadap orang yang bertimbang rasa itu. Meskipun dia bukan seorang muslim, namun dia tetap seorang manusia yang mempunyai perasaan terhadap insan yang lain.

Orang suruhan Saiduq itu segera pergi ke pasar untuk membeli makanan, buah-buahan dan segala keperluan dapur yang diperlukan oleh sebuah rumah,  di samping pakaian untuk ibu dan anak-anaknya. Kesemuanya disampaikannya pada hari itu juga.

Anak-anaknya bergembira melihat barang-barang yang belum pernah dilihatnya seumur hidup. Ibu itu juga turut gembira, dan mulai hari itu  dia tidak menangis  lagi. Dalam tangannya sudah ada serbu dinar yang cukup untuk menjamin hidupnya  dua atau tiga tahun lagi.

"Sampaikan salam ku kepada Saiduq serta ucapan terima kasih banyak kepadanya",  kata ibu itu kepada pengawal tersebut.

Kemudian ibu itu pun berdoa kepada Allah: "Ya Allah ! Ya Tuhanku ! Berikanlah  si Saiduq itu taufiq dan hidayat  untuk memeluk Islam, dan berikanlah dia daripada kenikmatanMu di syurga!"

Sementara itu pada suatu malam tuan hakim yang sombong itu telah bermimpi melihat seolah-olah dia sedang  berada di Hari Kiamat. Manusia terlalu sibuk waktu itu, masing-masing mencari perlindungan mengikut amalan di dunia.  Tuan hakim dibawa malaikat menuju ke syurga. Kemudian di dalam syurga itu dia dibawa masuk ke dalam sebuah gedung besar yang tinggi, indah permai penuh dengan ukiran mas merah, tingkapnya daripada mutiara putih yang berkilau-kilauan. Di suatu tingkap di situ berdiri sekumpulan bidadari yang bercahaya lebih terang daripada cahaya matahari, dan lebih menarik dan cantik daripada cahaya bulan.

Apabila tuan hakim tiba disitu, semua bidadari itu bertempik di mukanya: "Orang yang tidak tahu diuntung ! Orang yang dalam kerugian ! Dulu kami semua adalah kepunyaanmu, dan gedung ini pula adalah milikmu. Tetapi sekarang sudah bertukar, alangkah malangnya nasibmu. Semuanya ini, termasuk kami bidadari akan menjadi hak milik Saiduq, seorang  berbangsa Nasrani itu. Sekarang pergi dari sini, kami bukan hak milik kamu lagi. Tempat yang layak bagi kamu adalah neraka." Kata suara tempikan yang sangat dahsyat.

Kemudian tuan hakim itu dibawa pula ke dalam neraka, dan ditunjukkan tempatnya di situ. Pada saat itulah tuan hakim itu tersedar daripada mimpinya. Dia terperanjat  dan merasa takut sekali. Dia tidak dapat tidur pada malam itu sampai ke pagi  memikirkan mimpinya yang menakutkan itu.

Pada keesokan paginya, tuan hakim bergegas  ke rumah Saiduq. Saiduq  berbangga  kerana tuan hakim datang ke rumahnya.

Tuan Hakim masuk ke dalam rumahnya lalu bertanya: "Ada apa-apa tak kebaikan yang kau lakukan semalam? "Tanya tuan hakim.

"Saya memang suka membuat kebaikan," jawabnya. Kebaikan yang macam mana?
Tanya  Saiduq kembali.

"Kebaikan apa saja, cuba terangkan!"

"Malam tadi saya menjamu kawan-kawan minum arak, dan saya minum lebih sedikit, maka saya mabuk, saya tidak ingat apa-apa." Saiduq memberitahu tuan hakim.

"Aku tidak mahu tahu dosa yang kau buat itu, yang aku maksudkan kebaikan apa yang kau buat untuk orang lain, cuba ingat," tuan hakim naik darah.

Setelah diingati betul-betul maka teringatlah Saiduq bahawa beberapa hari yang lalu dia telah  menolong seorang perempuan dan anak-anaknya yang di dalam kesusahan dan kelaparan.

"Barangkali kebaikan yang aku lakukan  terhadap seorang perempuan yang mempunyai tiga anak kecil jika tidak salah aku! "terang Saiduq.

"Ya...ya, itulah dia "pintas tuan hakim tidak sabar. "Apa yang kau berikan kepadanya ?"

"Apakah salah, jika aku berikan sesuatu kepadanya ? "Tanya Saiduq lagi.

"Bukan begitu, tetapi aku hendak tahu, apa yang kau berikan kepadanya, dan bagaimana kau boleh bertemu dengannya", kata tuan hakim lagi.

"Oh.... begitu ! Baiklah, mula-mula saya jumpa perempuan itu di deretan rumah-rumah yang roboh sambil menangis. Saya kasihan kepadanya, tanpa diminta saya berikan makanan, pakaian dan segala keperluannya serta anak-anaknya,"kata Saiduq sungguh-sungguh.

"Itu sajakah yang kau beri? "Tanya tuan hakim lagi.

"Ada lagi, "Jawab Saiduq.

"Apa dia? "Tanya tuan hakim memaksa.

"Saya beri dia seribu dinar untuk keperluan hidupnya. Saya berikan itu kerana Allah, saya kasihan kepadanya dan anak-anaknya,"Saiduq cerita kesemuanya.

Tuan hakim termenung sebentar kerana mengenangkan peristiwa yang berlaku antaranya dengan perempuan itu sebelum ini. Dihatinya sungguh menyesal perbuatannya yang angkuh itu yang menyebabkan beliau diperlihatkan bakal kehilangan segala-galanya di akhirat kelak.

"Tapi, saya ingin tahu juga apa sebabnya tuan hakim datang ke rumah saya pagi-pagi begini semata-mata hanya hendak bertanya perkara ini ? "Tanya Saiduq menduga.

Tuan hakim masih termenung, kemudian tunduk. Pada wajahnya ternyata seperti  seorang yang sedang memikirkan sesuatu dan tampak sedih sekali.

"Begini Saiduq, malam tadi aku bermimpi yang sungguh menyedihkan. "Kata tuan hakim perlahan.

"Mimpi yang menyedihkan tuan ? "Saiduq  terperanjat "Tapi apa kena mengenanya dengan diri saya? Tanyanya lagi.

Tuan hakim tidak punya pilihan lain, terpaksa menceritakan segala yang berlaku di dalam mimpinya. Dia menceritakan segala gedung dan bidadari-bidadari di syurga nanti yang asalnya menjadi miliknya telah bertukar menjadi milik Saiduq kerana semata-mata kebaikan yang dilakukan itu kepada seseorang yang memerlukannya.

Mendengar cerita itu, gementerlah badan Saiduq dan dengan tiba-tiba dia menghulurkan tangannya kepada  tuan hakim, katanya :

"Tuan hakim ! Sekarang saksikanlah  ...... bahwa saya menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan bahwasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah, yang diutuskanNya membawa petunjuk dan agama yang benar."

Tuan hakim terpaksa menyaksikan keislaman Saiduq itu dengan hatinya sedih dan menyesal atas kelakuannya yang tidak berperikemanusiaan.

Begitulah manisnya iman. Seorang Nasrani yang berbudi mulia, dengan doa seorang perempuan miskin saja, dia telah diberi Allah petunjuk menemui jalan kebenaran, lalu menjadi golongan ahli syurga.



Dipetik daripada kitab Mukhtashar Raudhur-Raiyahin karangan Al-`Allamah al-Yafi`i

No comments:

Post a Comment