Tuesday, 21 December 2010

Datuk Ketumanggungan dan Datuk Parpatih Nan Sabatang

SIAPAKAH KEDUA-DUA TOKOH INI? Apakah mereka juga merupakan dua orang legendaris sejarah Minangkabau? Atau apakah keduanya merupakan tokoh historis sejarah Minangkabau yang benar-benar ada dan hidup dalam sejarah Minangkabau pada masa dahulu? Penjelasan berikut ini dapat menjawab beberapa pertanyaan tersebut.

Suku bangsa Minangkabau, dari dahulu hingga sekarang mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa kedua orang tokoh itu merupakan pendiri Adat Koto Piliang dan Adat Bodi Caniago yang sampai sekarang masih hidup subur di dalam masyarakat Minangkabau baik yang ada di Minangkabau sendiri maupun yang berada di perantauan.

Demikian kukuhnya sendi-sendi kedua adat itu sehingga tidak dapat digoyahkan oleh bermacam-macam pengaruh dari luar, dengan pengertian akan segera mengadakan reaksi/ balas-balik apabila terjadi perbenturan terhadap unsur-unsur pokok adat itu. Hal ini telah dibuktikan oleh putaran masa terhadap kedua-dua adat itu.

Ada petunjuk dan bukti bagi kita bahawa kedua tokoh itu memang merupakan tokoh sejarah Minangkabau. Pitano seorang ahli sejarah mengambil kesimpulan bahawa dari bait kedua prasasti pada bagian belakang arca Amogapasa, antara tokoh adat Datuk Perpatih Nan Sabatang dengan tokoh Dewa Tuhan Parpatih yang tertulis pada arca itu adalah satu tokoh yang sama.

Dijelaskan selanjutnya bahawa pada prasasti itu tokoh Dewa Tuhan Parpatih sebagai salah seorang terkemuka dari Raja Adityawarman iaitu salah seorang menterinya. Jadi tokoh Dewa Tuhan yang ada pada prasasti yang terdapat di Padang. Candi itu adalah sama dengan Datuk Parpatih Sabatang. Demikian kesimpulannya.

Kalaulah pendapat ini memang benar, maka dapat pula dibenarkan bahawa tokoh Datuk Perpatih Nan Sebatang itu adalah merupakan salah seorang tokoh historis dalam sejarah Minangkabau, kerana namanya juga tertulis pada salah satu prasasti sebagai peninggalan sejarah yang nyata-nyata ada.

Bukti lain mengenai kehadiran tokoh tersebut dalam sejarah Minangkabau adalah dengan adanya Batu Batikam di Dusun Tuo Limo Kaum, BatuSangkar. Dikatakan dalam Tambo, bahawa sebagai tanda persetujuan antara Datuk Parpatih Nan Sabatang dengan Datuk Ketumanggungan, Datuk Parpatih Nan Sabatang menikamkan kerisnya kepada sebuah batu, hal ini sebagai peringatan bagi anak cucunya dikemudian hari. Sebelum peristiwa ini telah terjadi sedikit kesalah fahaman antara kedua-dua tokoh tersebut. Adanya Batu Batikam itu yang sampai sekarang masih dijaga dengan baik membuktikan kepada kita bahawa kedua tokoh itu memang ada dalam sejarah Minangkabau, bukan sekadar sebagai tokoh dongengan saja sebagaimana banyak ahli-ahli barat mengatakannya.

Bukti lain dalam hikayat Raja-Raja Pasai pula ada dikatakan bahawa dalam salah satu perundingan dengan Gajah Mada yang berhadapan dari Minangkabau itu adalah Datuk Perpatih Nan Sabatang tersebut. Hal ini membuktikan juga akan kehadiran tokoh itu dalam sejarah di Minangkabau.

Di Negeri Sembilan, sebagai bekas daerah rantau Minangkabau seperti yang dikatakan dalam Tambo, sampai sekarang juga terkenal dengan Adat Perpatih. Malahan peraturan adat yang berlaku dirantau ini sama dengan peraturan adat yang berlaku di daerah asalnya. Hal ini juga merupakan petunjuk tentang kehadiran Datuk Parpatih Nan Sabatang dalam sejarah Minangkabau.

Sesudah nyata terbukti bahawa kedua tokoh itu benar-benar hadir dalam sejarah Minangkabau, maka ada sedikit hal yang kurang benar yang dikemukakan oleh Pinato. Dia mengatakan bahawa kedua tokoh itu merupakan pembesar dengan kedudukan Menteri dalam Kerajaan Adityawarman. Tetapi pencantuman kedua tokoh itu dalam Prasasti Adityawarman tidaklah berarti bahawa mereka menjadi Menterinya, melainkan untuk menghormatinya kerana sebelum Adityawarman datang, kedua tokoh itu sudah pun ada di Minangkabau yang sangat dihormati oleh rakyatnya.

Maka oleh Adityawarman untuk menghormati kedudukan kedua-dua tokoh itu dicantumkan nama mereka pada Prasastinya. Tidak sembarangan orang yang dapat dicantumkan di dalam prasasti itu, kecuali tokoh yang betul-betul sangat terhormat dalam masyarakat mereka.

Walaupun Datuk Parpatih Nan Sabatang dan Datuk Ketumanggungan sudah merupakan tokoh historis dalam sejarah Minangkabau sesuai dengan bukti-bukti yang dikemukakan, akan tetapi keduanya bukanlah merupakan Raja Minangkabau, melainkan sebagai pemimpin masyarakat dan penyusun kedua adat yang hidup dalam masyarakat Minangkabau sekarang ini, iaitu Adat Koto Piliang dan Adat Bodi Caniago yang mana bagi masyarakat Minangkabau sendiri kedudukan yang sedemikian jauh lebih tinggi martabatnya dari kedudukan seorang Raja yang manapun.

Antara Datuk Perpatih Nan Sabatang dan Datuk Ketumanggungan adalah dua orang bersaudara satu ibu tetapi berlainan ayah. Ayah Datuk Ketumanggungan adalah suami pertama ibunya ( Puti Indo Jelita ) berasal dari yang berdarah luhur atau dari keturunan raja-raja. Sedangkan ayah dari Datuk Perpatih Nan Sabatang adalah Cateri Bilang Pandai iaitu suami kedua ibunya yang berasal dari

Perbedaan darah leluhur dari keduanya itu menyebabkan nantinya ada sedikit perbedaan dalam ajaran yang disusun mereka. Kesimpulannya adalah bahawa kedua orang itu iaitu Datuk Ketumanggungan dan Datuk Perpatih Nan Sabatang adalah dua tokoh historis dalam sejarah Minangkabau, bukan tokoh legendaris sebagaimana yang dianggap oleh kebanyakan penulis-penulis barat.

Menurut tambo dan cerita urang tuo-tuo, dari Pasumayan Koto Batu ini kemudian di buka nagari Pariangan dan Padang Panjang. Inilah asal muasalnya peradaban Minangkabau, sehingga dua daerah ini di sebut sebagai : "Tampuk Tangkai Alam Minangkabau". Undang-undang yang berlaku pada masa itu disebut "Undang-undang Si Mumbang Jatuah".

Intinya:

Siapa membunuh ia dibunuh
Tiada boleh disanggah
Tiada boleh ditentang
Siapa kuat dia kudrat
Siapa kuasa dia berjaya
Semua keputusan di tangan Raja

Sri Maharaja Diraja mempunyai permaisuri Puti Indo Jelita (Puteri Indera Jelita), di mana kemudian lahir putera mahkota bernama Sutan Paduka Besar. Tetapi belum lagi putera mahkota menjadi dewasa, Sri Maharaja Diraja mangkat sehingga tampuk dipegang orang kedua bernama Datuk Suri Dirajo. Puti Indo Jelita pula kemudiannya menikah lagi dengan Penasihat almarhum Raja, bernama Cateri Bilang Pandai bergelar Indra Jati lalu lahirlah seorang putera bernama Sutan Balun.

Sutan Paduka Besar kemudian bergelar Datuk Ketumanggungan, sedangkan Sutan Balun bergelar Datuk Perpatih Sabatang. Jadi sebenarnya mereka bersaudara satu Ibu, berlainan ayahanda sahaja. Mereka meneroka (membuka) rantau-rantau baru. Mula-mula di Sungai Jambu, lalu dari sini Datuk Ketumanggungan membuka nagari Bungo Setangkai, sedang Datuk Perpatih Nan Sabatang membuka nagari Limo Kaum.

Dari sinilah mulai timbul perbedaan dalam menerapkan hukum. Jika Datuk Ketumanggungan tetap setia dengan Undang-undang Si Mumbang Jatuh yang keras dan kuasa mutlak ditangan seseorang, maka Datuk Perpatih Nan Sabatang menyesuaikannya dengan menerapkan "Undang-undang Si Lamo-lamo atau Si Gamak-gamak". Lalu undang-undang itu diperbaharui lagi dengan "Undang-undang Tariak Baleh" yang berasaskan pada kebijakan meletakkan keputusan melalui pertimbangan yang masak untuk mengetahui manfaat dan mudaratnya. Hukum dijatuhkan kepada siapa yang melanggar peraturan tetapi tidak serta merta melainkan diselidiki terlebih dahulu agar dapat diberikan suatu keputusan yang seadil-adilnya.

Perubahan oleh Datuk Perpatih Nan Sabatang ini dianggap terlalu radikal oleh abang tirinya Datuk Ketumanggungan yang ingin mempertahankan Undang-undang Si Mumbang Jatuh yang telah diasaskan oleh ayahandanya Sri Maharaja Diraja. Sehingga hampir timbul selisih diantara dua saudara itu. Tetapi untunglah perbedaan pendapat ini dapat diselesaikan dengan kebijakan ninik mamak dan urang basa serta keinsafan peribadi kedua datuk ini. Upacara damai mengakhiri perselisihan ini dimeterai dengan menusuk keris di batu. Wujudnya adalah "Batu Batikam" yang sampai pada hari ini masih dapat dilihat di Dusun Tuo Limo Kaum.

Hasil dari perundingan damai itu ialah bahawa undang-undang lama dapat diperbandingkan dengan alasan-alasan yang wajar. Dan keputusan diambil adalah setelah adanya kaji-selidik dan muafakat bersama.

Perkembangan selanjutnya nagari-nagari di Alam Minangkabau mengamalkan suatu Undang-undang baru yang merupakan perpaduan dari hukum lama dan baru. Undang-undang itu dikenal dengan sebutan "Undang-undang nan duo puluah". Ia disusun oleh Datuk Perpatih Sabatang. Suatu hal yang pasti mengenai gelaran Datuk Perpatih Nan Sabatang ini memang di pusakai/menurun ke warisnya. Mengikut jangka waktu dari zaman Sutan Balun (Pra Hindu) sehinggalah ke penyusunan Undang-undang nan duopuluah (zaman Islam) maka kemungkinan bahawa penyusunnya adalah dari keturunan Datuk Perpatih Nan Sabatang yang asli.

Contoh penyesuaian ini adalah dalam perbidalan adat sebagaimana berikut (Zaman Pra Islam):

Kamanakan barajo ka mamak
Mamak barajo pado pangulu
Pangulu barajo pado mupakat
Mupakat basandi alua jo patuik
Alua basandi bana
Bana badiri surang.

(Kemenakan beraja ke mamak
Mamak beraja pada penghulu
Penghulu beraja pada mufakat
Mufakat bersendi alur dan patut
Alur bersendi benar
Benar berdiri sendiri ).

Datuk Perpatih Nan Sabatang menambahkan pula perbidalan adat ketika Islam masuk menjadi berikut :

Adat basandi syarak
Syarak basandi Kitabullah
Syarak mangato
Adat mamakai
Kewi kato syarak
Lazim kato adat.

(Adat bersendi syarak
Syarak bersendi Kitabullah
Syarak mengata
Adat memakai
Kewi kata syarak
Lazim kata adat ).

No comments: